Gangguan liputan di sekitar Kuala Kangsar berikutan kebakaran menara pencawang telekomunikasi – MCMC

BEBERAPA kawasan di sekitar Kuala Kangsar, Perak mengalami gangguan liputan berikutan kebakaran melibatkan menara komunikasi milik Maxis di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, petang semalam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, kebakaran melibatkan sebuah menara komunikasi yang menempatkan peralatan stesen pemancar CelcomDigi dan Maxis sekitar jam 6.50 petang.

KEADAAN pencawang menara telekomunikasi di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar di Perak yang terbakar petang semalam. GAMBAR: MCMC

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, berikutan kebakaran itu, liputan perkhidmatan telekomunikasi khususnya pengguna CelcomDigi, Maxis dan UMobile telah terjejas.

“Antara kawasan yang terlibat mengalami gangguan adalah kawasan sekitar menara termasuk Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas dan Kampung Lempor.

“Liputan perkhidmatan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang berdekatan dengan lokasi kejadian turut terkesan,” kata kenyataan  MCMC itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, punca kebakaran menara berkenaan masih dalam siasatan dan laluan ke lokasi kejadian telah ditutup oleh pihak berkuasa bagi membolehkan pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan siasatan lanjut.

Pada masa yang sama, MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan berkaitan untuk melaksanakan tindakan pembetulan serta-merta, termasuk penyediaan pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani gangguan liputan yang berlaku.

Sebagai langkah kecemasan, MCMC memberitahu, pihaknya telah melaksanakan penyelesaian sementara dengan mengaktifkan kemudahan WiFi satelit Starlink di R&R Sungai Perak (arah Utara), Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) bagi memastikan pengguna lebuh raya kekal mempunyai akses komunikasi.

Selain itu, MCMC juga telah mengarahkan pemilik menara dan penyedia perkhidmatan untuk memperketatkan penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal dan pemantauan berterusan di semua menara, selaras dengan keperluan kebolehpercayaan rangkaian dan keselamatan pengguna.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img