Pesawat AirAsia dari KLIA ke Brunei dilencong ke Kota Kinabalu berikutan masalah tekanan kabin

PENERBANGAN sebuah pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur ke Brunei terpaksa dilencongkan ke Kota Kinabalu sebagai langkah berjaga-jaga pada Jumaat lalu berikutan isu teknikal berkaitan tekanan kabin.

Pesawat AK278 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 1.45 petang dan dijadualkan tiba di Brunei pada jam 4.05 petang, dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Insiden itu menarik perhatian orang ramai selepas satu hantaran di Facebook yang memaparkan data penjejakan penerbangan tersebut tular, dengan mendakwa pesawat itu mengisytiharkan kecemasan dan melakukan penurunan terkawal di atas Laut China Selatan.

Amaran tekanan kabin lazimnya mendorong pesawat mengurangkan ketinggian sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penumpang.

AirAsia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penerbangan AK278 selamat mendarat di KKIA dan semua penumpang serta kru turun dari pesawat tanpa sebarang insiden.

Menurut kenyataan itu, juruterbang mematuhi prosedur operasi yang ditetapkan selepas isu tersebut dikesan semasa penerbangan.

Pesawat jenis Airbus itu kini menjalani pemeriksaan teknikal dan kerja-kerja pembaikan.

AirAsia memaklumkan, penumpang dibantu oleh kakitangan dan meneruskan perjalanan mereka dengan penerbangan lain pada jam 8.08 malam hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Fareh Mazputra berkata, kru penerbangan dan kru kabin bertindak pantas serta profesional dalam mengendalikan situasi tersebut.

“Dengan rancangan perjalanan hujung tahun sedang berlangsung, pasukan kami beri tumpuan untuk meminimumkan gangguan. Kami berterima kasih kepada tetamu atas kesabaran dan kefahaman mereka ketika kami berusaha memastikan mereka dapat meneruskan perjalanan dengan selamat,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img