SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat minggu depan berhubung pelaksanaan pilihan raya kecil (PRK) bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis susulan kekosongan luar jangka yang dikemukakan oleh Speaker DUN Rus’sele Eizan,
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata pihaknya sudah menerima notis pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi berkenaan hari ini.
“Kita baru sahaja terima (notis kekosongan luar jangka) jadi SPR akan mengadakan mesyuarat minggu depan. Kita akan berbincang semua perkara yang berkenaan,” katanya lapor Berita Harian.
Pada 25 Disember lalu, Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas keahlian tiga ADUN kawasan itu dari Pas terhenti serta-merta.
Tiga ADUN berkenaan ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Rus’sele berkata kekosongan luar jangka tersebut adalah selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi ketiga-tiga DUN berkenaan.
Beliau berkata, walaupun usia DUN Perlis telah genap tiga tahun pada 18 Disember lepas, kerajaan negeri merasakan terdapat keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan di ketiga-tiga kerusi berkenaan.
“Dalam keadaan biasa, berdasarkan Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya bagi mengisi kekosongan luar jangka apabila usia DUN telah mencecah tiga tahun atau lebih.
“Bagaimanapun, saya berpendapat tiga kekosongan itu perlu diisi semula bagi kepentingan kestabilan kerajaan dan untuk memastikan khidmat terbaik dapat diberikan kepada rakyat, memandangkan kekosongan luar jangka itu menjejaskan bilangan majoriti ADUN Perlis,” katanya.
Dewan Undangan Negeri Perlis mempunyai 15 kerusi. Pada PRU-15, Perikatan Nasional (PN) menang 14 kerusi iaitu Pas (9 kerusi), Bersatu (5) dan (1).
.


