Gara-gara tersekat laluan RFID: Lelaki cedera dilanggar selepas bertengkar di plaza tol

SEORANG lelaki cedera akibat dilanggar sebuah kereta di plaza tol di Pulau Pinang selepas meminta pemandu kenderaan di belakangnya itu mengundur berikutan kereta dipandu isteri mangsa `tersekat’ di laluan RFID, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, isteri mangsa yang berusia 31 tahun membuat laporan di Balai Polis Trafik Seberang Perai Tengah selepas kejadian berkenaan di plaza tol Perai berhampiran Lingkaran Luar Butterworth.

Dalam laporan polis itu, wanita terbabit mendakwa, suaminya keluar dari kenderaan mereka untuk meminta pemandu kereta di belakangnya mengundur supaya dia dapat mengundur dari laluan RFID itu selepas mendapat isyarat tag tidak sah. Bagaimanapun, pertengkaran tercetus antara suaminya dan lelaki berkenaan.

“Ketika itu, tiba-tiba kereta tersebut telah melanggar suami saya dan terus melanggar kereta saya,” menurut laporan wanita berkenaan, lapor FMT.

Dakwanya, kereta itu kemudian terus meninggalkan tempat kejadian. Wanita itu tidak mengalami kecederaan tetapi suaminya mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam akibat cedera di lengan kiri, rusuk kiri dan kaki kanan.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka, penumpang di sebelah pemandu kereta di belakang itu keluar dari kenderaan dan dilihat seperti mengambil sesuatu di tempat duduk belakang. Dia kemudian didengar menjerit kepada kereta mangsa supaya beralih.

Suami wanita itu didengar memanggil lelaki itu `bodoh’ dan memintanya mengundur memandangkan mereka tidak dapat melepasi laluan berkenaan. Mangsa juga didengar menuduh pemandu berkenaan `minum’ dan memintanya tidak membuat kacau.

Dua lelaki itu terus bertengkar sebelum kereta kedua itu mengundur. Suami wanita berkenaan dilanggar ketika mengisyaratkan supaya kereta lain turut mengundur.

Mangsa dilihat bangun dan mengejar kereta itu sambil menjerit bahawa mereka mempunyai rakaman kamera papan pemuka.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img