Enam unit rumah pangsa musnah dalam kebakaran di Ipoh

ENAM unit rumah pangsa musnah akibat kebakaran di National Garden Flat, Jalan Sultan Nazrin Shah di Ipoh, hari ini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.49 tengah hari berhubung insiden itu.

Susulan itu, beliau berkata, seramai 31 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh serta BBP Simpang Pulai bergegas ke tempat kejadian, dengan turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pinji, Menglembu, Pekan Baru dan Bercham.

“Setiba jentera di lokasi, didapati api sedang marak di tiga rumah dan kemudian merebak ke tiga unit lain. Rumah pangsa kelas A berukuran 40 kaki x 25 kaki setiap satu itu terbakar kira-kira 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Shazlean berkata, anggota bomba mengalami kesukaran untuk memadamkan kebakaran itu berikutan terdapat beberapa unit rumah berkunci dan dipasang jeriji besi.

Beliau berkata, api berjaya dikawal pada jam 2.30 petang sebelum operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.49 petang, selain kejadian itu dilapor tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, Shazlean berkata, empat rumah teres setingkat di Jalan Muhammad Rashid, Kampung Kuala Pari Hilir, Menglembu, turut mengalami kebakaran kira-kira jam 4 petang tadi.

“Dua daripada rumah itu musnah kira-kira 90 peratus, manakala dua lagi terbakar kira-kira 50 dan 30 peratus. Dua motosikal masing-masing jenis Yamaha RXZ dan Yamaha 125 juga terbakar 90 peratus,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman kebakaran itu disertai 23 anggota bersama empat jentera dari BBP Pasir Puteh, BBP Meru Raya dan BBP Batu Gajah, selain dibantu tiga anggota PBS Menglembu dengan sebuah jentera.

Kejadian itu menyebabkan 22 penghuni daripada empat keluarga kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Kampung Kuala Pari yang dibuka pada jam 6 petang tadi.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta memaklumkan bahawa mangsa berkenaan membabitkan 13 dewasa, masing-masing seorang warga emas dan orang kurang upaya (OKU), serta tujuh kanak-kanak.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img