Azmin, Dr Sahruddin ikut langkah Muhyiddin letak jawatan Setiausaha Agung, Pengerusi PN Johor

SELEPAS Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengikut langkahnya apabila meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung gabungan tersebut berkuat kuasa esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, perletakan jawatannya ini kerana beliau dilantik memegang jawatan berkenaan sebelum ini di bawah bidang kuasa Pengerusi PN.

Mohamed Azmin memaklumkan, beliau turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Selangor.

“Kerjasama semua pihak amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih,” katanya.

Muhyiddin hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau berkuat kuasa 1 Januari depan.

Mohamed Azmin dilantik sebagai Setiausaha Agung PN pada Disember tahun lalu selaras dengan keputusan pemilihan parti selepas Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sebelum itu menjawat jawatan berkenaan dipilih sebagai Timbalan Presiden Bersatu dan Timbalan Pengerusi PN.

Sebelum itu, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal turut mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu memaklumkan perkara berkenaan dalam hantaran terbaharu Facebook miliknya.

Dr Sahruddin memaklumkan tindakan itu dibuat susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya dengan ini meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Johor. Hilang jawatan MB (Menteri Besar) pun saya, letak jawatan Pengerusi PN lagilah saya suka,” tulisnya.

Dr Sahruddin turut menafikan berlaku pergolakan dalam PN Johor sehingga menyebabkan dirinya meletakkan jawatan.

“PN Johor ok, tiada pergolakan. PN Johor sangat bagus. Kita baru mesyuarat dua minggu lepas dan ia berjalan baik. Peletakan jawatan ini tiada kena mengena dengan Johor.

“Bagi saya mudah sahaja, bila pimpinan pusat letak jawatan, saya dilantik oleh Tan Sri (Muhyiddin). Bila beliau letak jawatan, saya pun letak (jawatan PN Johor). Jadi saya minta pimpinan Muafakat Nasional (MN) lantik Pengerusi PN baharu di Johor.

“Keputusan ini menyusul keputusan Tan Sri (Muhyiddin). Di Parlimen Pagoh dan Bersatu Johor tiada perubahan,” katanya.

Dr Sahruddin dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor berkuatkuasa pada Jun 2022.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img