Malaysia tolak pengiktirafan Israel terhadap “Somaliland”

MALAYSIA menolak pengiktirafan Israel terhadap wilayah “Somaliland” dan menyatakan bantahan tegas terhadap sebarang usaha menggunakan wilayah itu, atau mana-mana kawasan lain, sebagai lokasi pemindahan secara paksa rakyat Palestin dari Gaza.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sehaluan sepenuhnya dengan pendirian sekumpulan besar negara serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menolak pengiktirafan yang dibuat oleh Israel itu.

“Kami menyatakan bantahan tegas terhadap sebarang cubaan untuk menggunakan ‘Somaliland’ atau mana-mana wilayah lain sebagai destinasi pemindahan atau pengusiran paksa rakyat Palestin dari Gaza.

“Cadangan sedemikian sama sekali tidak boleh diterima, melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan, serta hanya akan menambah ketidakadilan dan bukannya menyumbang kepada keamanan. Kami menolak semua tindakan yang melemahkan tatakelola undang-undang antarabangsa,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.

Israel menjadi negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pertama yang secara rasmi mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara berdaulat pada Jumaat, sekali gus mengundang kecaman daripada Turkiye, sekutu rapat Somalia, serta beberapa negara di Afrika dan Timur Tengah.

Somaliland, yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada Somalia pada 1991, masih belum menerima pengiktirafan rasmi antarabangsa dan beroperasi sebagai entiti pentadbiran, politik dan keselamatan de facto, sementara kerajaan pusat Somalia terus berdepan kesukaran untuk mengukuhkan kawalan terhadap wilayah itu manakala pemimpin Somaliland sendiri masih gagal mendapatkan pengiktirafan dunia terhadap tuntutan kemerdekaan mereka.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img