TIGA lelaki warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 26 kilogram, baru-baru ini.
Tertuduh, Xie Zhouji, 38; Zhang Mea, 32, dan Chen Cheng, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Ketiga-tiga mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamin seberat 26.025 kilogram di sebuah pangsapuri di Kompleks Adorna Gold pada jam 10 malam, 20 Disember lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39(B)(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi sebutan laporan kimia.
Mahkamah juga tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 25 Februari depan untuk sebutan semula dan pembentangan laporan kimia.


