REMAJA warga United Kingdom, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang sejak tiga bulan lepas ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah hotel di Jalan Pudu dekat sini malam ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus, yang mengesahkan perkara itu, memaklumkan remaja tersebut ditemukan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 7 malam.
“Butiran lanjut akan dimaklumkan setelah pemeriksaan selesai dijalankan,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, polis menyiasat kes kehilangan remaja itu yang dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas menaiki penerbangan ke Malaysia secara senyap-senyap.
Pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester itu meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan menaiki penerbangan seorang diri dari Manchester ke Kuala Lumpur.
Dia juga bertindak mematikan telefon sejurus tiba di Malaysia dan dilaporkan telah menghantar e-mel kepada ibunya buat kali terakhir pada 9 Julai lepas.

Antara kandungan e-mel tersebut ialah pesanan Balisong supaya ahli keluarga tidak mencari atau bimbang akan keadaan dirinya dan remaja berkenaan turut mendoakan agar mereka berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf atas tindakannya itu.
Sementara itu, Balisong, ditemui dalam keadaan kurus kering kerana hanya makan makanan segera sepanjang kehilangannya namun berada dalam keadaan selamat.
Ibunya, Minerva Balisong, 50 berkata, dia mengenali anaknya itu walaupun keadaan fizikalnya banyak berubah akibat penurunan berat badan.
“Keadaannya baik, dia hanya makan makanan segera dan banyak kehilangan berat badan, tetapi saya tahu itu memang dia.
“Kami baru sahaja menemuinya dan saya sendiri tidak percaya. Rakan sebiliknya di hotel yang melaporkan mengenai dirinya kepada pihak polis, sekarang sedang menunggu pihak polis untuk mengambil keterangannya,” katanya lapor Berita Harian.
Sementara itu, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan seorang individu menyerupai David di sebuah hotel sekitar Pudu, di sini, lantas beliau melaporkan maklumat itu kepada pihak polis.
Katanya, pemberi maklumat terbabit adalah rakan pengembara yang tinggal di hotel bersama David dan ternampak laporan berita berkenaan pencarian remaja warga Britain itu.
“Individu berkenaan menghubungi saya selepas membaca berita mengenai kehilangan remaja berkenaan.
“Balisong menyewa bilik bersama empat rakan pengembara dari beberapa negara, pengembara dari Korea kemudian menghubungi saya memaklumkan perkara berkenaan.
“Saya berterima kasih kepada pihak polis Kuala Lumpur kerana bertindak pantas dalam perkara ini,” katanya.


