PRESIDEN Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu tidak melarang sesiapa pun daripada membuat kenyataan, sama ada menyokong atau tidak menyokong tindakan yang berlaku di Perlis.
Katanya, kebebasan bersuara tidak dihalang dalam sebuah negara demokrasi asalkan jangan terbabas atau bercakap tanpa pengetahuan yang betul atau jahil murakkab yang tidak sedar dirinya jahil dan berlagak tahu semua perkara, akhirnya, akan memalukan diri sendiri.
‘’Prinsip tidak memisahkan Islam daripada politik menjadi akidah perjuangan Pas, bahkan dimaktubkan dalam perlembagaannya. Segala langkah dan tindakann dibuat berpandukan fiqh politik yang menepati al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad para ulama’ yang bertafaqquh,’’ katanya dalam kenyataan mala mini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, semua tindakan dilakukan mengikut disiplin jemaah sepertimana yang ditetapkan dalam undang-undang tubuhnya.
‘’Pas tidak bercakap dengan cara yang terpilih dalam melaksanakan kewajipan amar ma‘ruf nahi munkar. Bahkan, semua ahli Pas ditarbiah menghadapi sesiapa sahaja dan tidak takut kepada apa-apa tindakan, daripada pihak berkuasa yang paling tinggi dalam negara hinggalah tindakan rakyat yang menghukum melalui pilihan raya.
‘’Pas berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam semua urusan, bukan terpilih mengikut kemahuan atau disebabkan takut-takutan. Menjadi ketetapan Allah SWT, apabila hendak mencipta manusia dengan menentukan kewajipan mereka dalam tiga perkara iaitu aspek ibadah, khilafah (politik) dan amanah. Tiga perkara ini tidak boleh dipisahkan.
SEMENTARA itu Pesuruhjaya Pas Perlis Ahmad Ali berkata, kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas negeri Ahmad Adnan Fadzil, bahawa kemelut politik di negeri itu berpunca daripada kegagalan laksana tanggungjawab dengan baik, hanya pandangan peribadi dan tidak mewakili parti.
Ahmad berkata, Adnan mengeluarkan pandangan sedemikian tanpa merujuk pucuk pimpinan, walaupun sebelum ini ahli Pas telah dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan individu bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh mengeruhkan keadaan.
“Sebenarnya, kenyataan yang dibuat oleh ketua Dewan Ulama Pas Perlis itu nampaknya adalah pandangan peribadinya sendiri, bukan mewakili parti atau pimpinan PasPerlis. Sebelum ini saya telah keluarkan nasihat kepada ahli PAS, terutama pimpinan di Perlis (agar) tidak buat kenyataan mengikut pandangan sendiri, perlu rujuk dahulu kepada saya, pucuk pimpinan negeri atau PAS pusat,’’ katanya kepada FMT.
Sehubungan itu, Ahmad sekali lagi menasihati semua ahli dan pemimpin Pas Perlis supaya bertenang dan fokus menjalankan tugas yang diamanahkan.
“Semua perlu patuh kepada arahan parti, mudah-mudahan kita dapat capai keputusan harmoni untuk parti, hentikan tuduh menuduh yang tidak menguntungkan parti. Saya juga yakin kesatuan Pas Perlis bersama pimpinan PN negeri akan kembali kuat selepas ini,” katanya sambil memaklumkan, pihaknya juga menunggu arahan pimpinan pusat mengenai langkah selanjutnya.


