Pejabat MB Perlis lantik penyelaras di tiga DUN kosong, kata Abu Bakar

PEJABAT  Menteri Besar Perlis akan melantik penyelaras bagi pusat khidmat rakyat yang akan dibuka di DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji.

Kekosongan luar jangka diumumkan di tiga kerusi tersebut, oleh Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan, selepas keahlian tiga wakil rakyatnya dalam Pas terhenti.

Menteri besar baharu, Abu Bakar Hamzah, mengumumkan urus tadbir bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji akan ditangani oleh pejabatnya.

“Apabila berlaku pembukaan pusat khidmat di kawasan itu, maka kita akan merujuk juga kepada kepimpinan Pas sebab itu kawasan kerusi mereka,” katanya, lapor Bernama.

Semalam, speaker mengumumkan DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji akan kekal kosong sehingga pilihan raya akan datang.

Pada 24 Dis lalu, Pas mengumumkan keahlian Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti, susulan laporan mengatakan mereka menarik sokongan terhadap menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.

Presiden Hadi Awang berkata ketetapan berkenaan keahlian tiga individu terbabit, dibuat berdasarkan Fasal 15A(1)(b) perlembagaan Pas.

Mengenai senarai nama calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu Perlis, Abu Bakar berkata ia akan dipersembahkan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada minggu depan.

Beliau berkata nama calon Exco itu terdiri daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu sahaja memandangkan Pas Pusat memutuskan untuk tidak menganggotai barisan Exco baharu yang akan dibentuknya.

“(Lantikan empat Exco sahaja) memang terlalu mencabar sebab kita ada banyak portfolio… kali ini sekurang-kurangnya lima portfolio satu Exco kena pegang,” katanya

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img