ADUN Labu sokong Abdul Hadi jadi Pengerusi PN

BEKAS Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Hanifah Abu Baker, menyatakan sokongannya supaya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilantik sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu itu berkata PN memerlukan seorang pengerusi yang mempunyai autoriti moral yang kukuh, pengalaman politik luas serta keupayaan untuk menyatukan parti-parti komponen secara berdisiplin dan berkesan.

“Abdul Hadi memenuhi semua keperluan ini dan perkara tersebut tidak boleh dipertikaikan.Realitinya, dalam PN hari ini hanya dua tokoh yang memiliki legitimasi, pengalaman dan penerimaan luas untuk memimpin gabungan itu – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Presiden Pas, Abdul Hadi.

“Memandangkan Muhyiddin telah melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN, Abdul Hadi merupakan calon paling rasional, kukuh dan berwibawa untuk memimpin PN serta memastikan kesinambungan dan kestabilannya,’’ katanya.

Hanifah berkata, selaras dengan amalan politik terbaik, jawatan Pengerusi PN seharusnya dipegang oleh Presiden sebuah parti komponen yang mempunyai mandat kuat dalam struktur partinya sendiri.

Pelantikan individu di luar lingkungan ini, katanya, berisiko menimbulkan kekeliruan kepimpinan, melemahkan rantaian pentadbiran, merumitkan penyelarasan serta menjejaskan pembuatan keputusan strategik.

Beliau turut menekankan kepentingan memilih seorang pemimpin yang diterima merentas kaum dan lapisan masyarakat bagi memastikan PN kekal sebagai gabungan nasional yang inklusif, stabil dan diyakini.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 30 Disember lalu. Beliau memimpin gabungan itu sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh PN didaftarkan secara rasmi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img