POLIS Terengganu sedang mengesan seorang wanita bernama Nurul Norasikin Aladin untuk tampil bagi membantu siasatan kes seorang peguam yang disyaki bersubahat membawa masuk dadah ke Penjara Marang.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, wanita berusia 30 tahun itu yang beralamat di Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Terengganu diperlukan untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, keputusan sama ada suspek akan didakwa di mahkamah atau disambung reman bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan ketika ini.
“Tempoh reman terhadap peguam lelaki berusia 32 tahun yang ditahan itu akan tamat pada Ahad ini. Bagaimanapun, polis tidak boleh mendedahkan sebarang modus operandi berkaitan kes berkenaan bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan.
“Sehubungan itu, polis meminta wanita terbabit yang dikenali sebagai Ikin untuk tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.
Wanita berkenaan juga menurut Mohd Khairi boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohammad Azmi Awang Lah di talian 010-921 3516.
Tambahnya, orang awam yang mengetahui keberadaan wanita berkenaan diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Sebelum ini media melaporkan seorang peguam ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang banduan membawa masuk dadah ke Penjara Marang.
Mohd Khairi dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu memaklumkan, lelaki berkenaan dipercayai bersubahat membawa masuk dadah ke penjara terbabit pada 23 Disember lalu melalui seorang banduan lelaki yang juga anak guamnya, selepas selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Katanya, suspek ditahan di Jalan Hiliran, Pulau Kambing, Kuala Terengganu kira-kira jam 10.45 pagi pada 29 Disember lalu.


