SELEPAS Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi bayangan beliau tidak akan menjadi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) walaupun Pas akan menerajui gabungan itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pula mencadangkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon sesuai.
Sanusi berkata, beliau menolak jawatan yang ditinggalkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berpendapat Samsuri sebagai calon lebih sesuai untuk menjadi Pengerusi PN.
“Saya cadangkan calon yang lebih layak, Dr Ahmad Samsuri iaitu Menteri Besar Terengganu. Beliau lebih baik daripada pengerusi sebelum ini. Tidak perlu banding dengan saya,” katanya lapor Sinar Harian.
Muhammad Sanusi menegaskan bahawa kelebihan Ahmad Samsuri dalam merangka strategi politik parti menjadikannya calon paling sesuai bagi jawatan berkenaan.
“Saya jeneral di medan, jaga tentera. Kerja saya di akar umbi. Beliau pula menguruskan strategi dan mengendalikan ‘roadmap’ (hala tuju),” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamuddein berkata, dakwaan bahawa PN sudah rosak, hilang arah atau menuju kehancuran adalah tidak benar.
Beliau berkata, PN masih wujud dan proses pembentukan kepimpinan baharu sedang dibincangkan bagi mengisi kekosongan jawatan dilepaskan oleh individu tertentu.
‘’Kepimpinan PN pada peringkat pusat, negeri dan bahagian atau kawasan masih kekal serta berfungsi seperti biasa,’’ katanya melalui Facebook beliau.
Katanya, kerajaan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu masih berjalan seperti biasa kerana tiada pimpinan Bersatu yang digugurkan atau letak jawatan dalam kerajaan negeri.
“Ahli Parlimen Pas dan Bersatu masing-masing masih saling berhubung. Ada yang hantar mesej peribadi, ada yang jemput kenduri dan ada juga yang ucap takziah atas kehilangan ahli keluarga. Malah, ada yang berbincang mengenai soalan-soalan untuk sidang Dewan Rakyat sesi akan datang dan saling nasihat-menasihati bagi meredakan keadaan.
“Riuhlah sekejap sehari dua. Biasalah. Waktu tengah konflik, tengah panas, riuhlah. Pakat meluah rasa, melontar kritikan, memberi pandangan tetapi selepas keadaan reda, masing-masing mohon maaf. Ukhuwah bertaut kembali,” katanya
Afnan Hamimi mendakwa, dirinya tidak pernah menulis bahawa PN akan berkubur, sebaliknya memberi usul agar gabungan pembangkang itu terus dijaga dan diperkasa.
“Itulah usul Pemuda Pas yang diluluskan dalam Muktamar Pas lalu. Harapan rakyat kepada PN terlalu tinggi setelah harapan mereka terhadap Pakatan Harapan (PH) berkubur. Apabila dilontarkan idea PN dan MN (Muafakat Nasional) nampaknya ramai yang menyokong. Ramai yang berharap agar penyatuan ummah ini benar-benar dapat diusahakan kembali, demi kepentingan Islam dan Melayu yang majoriti, serta memelihara kaum lain yang minoriti.
“Tidak dinafikan, satu cara untuk melemahkan PH khususnya DAP ialah melalui penyatuan ummah. Sekarang mereka naik tocang sebab Melayu Islam tidak bersatu. DAP dan PH akan terus berusaha supaya kita tidak bersatu. Kenapa? Supaya mereka dapat terus berkuasa buat apa sahaja.
“Insya-Allah. Penyatuan ummah yang sangat diidamkan, pasti akan terbentuk kelak. Itulah kehendak politik Islam, politik yang menyatukan dan bukan memecah-belahkan. Syaratnya, buang agenda peribadi, letak agenda ummah paling tinggi,” katanya.


