POLIS tidak menolak kemungkinan suspek utama kes letupan di Nilai pada 22 Disember lalu dipercayai menghasilkan peranti bahan letupan buatan sendiri (IED) untuk membalas dendam terhadap bekas teman wanitanya.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, lelaki berusia 62 tahun itu ketika disoal siasat mengaku menghasilkan IED berkenaan kerana berdendam dengan bekas kekasih yang berpisah dengannya lima tahun lalu.
“Suspek sering bercerita kepada saksi mengenai teman wanitanya. Keterangan ini mengukuhkan pengakuan suspek mengenai dendam ke atas bekas kekasihnya.
“Buat masa ini, kami masih menjalankan soal siasat terhadap suspek kerana kesihatannya tidak mengizinkan dan masih dirawat, namun dalam keadaan stabil,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, keterangan suspek juga tidak konsisten mungkin disebabkan keadaan kesihatannya.
Menurut Johari, Majistret Sara Afiqah Zulkipli membenarkan permohonan polis menyambung reman lelaki itu di Hospital Tuanku Ja’afar selama tujuh hari mulai hari ini hingga 10 Januari depan.
Media sebelum ini melaporkan, suspek ditahan dalam keadaan lemah dengan kesan melecur pada muka, tangan dan kaki di kawasan hutan dekat Batang Benar, Nilai pada 27 Disember lalu.
Dia dikatakan bersembunyi di hutan selepas letupan dalam sebuah kereta ketika dia dipercayai sedang mengalihkan peranti itu pada 22 Disember lalu.
Suspek juga dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti serta peralatan yang dirampas di rumah sewanya.
Siasatan dijalankan bawah Seksyen 307 dan 435 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.


