Jangan pandang remeh kumpulan, individu berideologi ekstremis

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) perlu terus diberikan `senjata’ dalam bentuk undang-undang pencegahan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi memudahkan pasukan itu menangani isu-isu keselamatan negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kerajaan tidak boleh memandang ringan sebarang ancaman keselamatan atau keupayaan kumpulan ekstremis dan militan berdasarkan kepada sejarah serangan lampau yang berlaku di rantau ini.

Beliau turut memberikan contoh insiden pengeboman di Bali, Indonesia pada 2002 yang jelas membuktikan bahaya menafikan atau meremehkan kewujudan rangkaian ekstremis yang beroperasi merentas sempadan.

“Apa iktibar boleh kita ambil dari insiden serangan di Indonesia?. Jangan sesekali memandang remeh isu keselamatan dan kemampuan kumpulan atau individu yang mempunyai ideologi ekstremis atau militan.

“Tindakan mesti diambil terhadap kumpulan ekstremis ini dan mereka tidak boleh dibiarkan beroperasi,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Ayob Khan turut mengimbas kembali serangan di Bali iaitu pengeboman berskala besar pertama di Asia Tenggara yang mengorbankan 202 nyawa dan mencederakan lebih 200 orang.

Rancangan serangan itu dibuat beberapa bulan lebih awal dan membabitkan pergerakan anggota melalui Thailand dan Malaysia sebelum melancarkan serangan di Indonesia.

Malaysia bukan sekadar menjadi lokasi transit, sebaliknya Jemaah Islamiah (JI) memasuki negara ini bagi mendapatkan logistik, memasang bahan letupan serta menyelaras pembiayaan sebelum serangan berkenaan.

Dalam masa yang sama, beliau berkata operasi berterusan oleh Cawangan Khas PDRM sejak Disember 2001 akhirnya berjaya menggagalkan rancangan pengeboman di Lebuhraya Tambak Johor–Singapura.

“Saya juga menolak dakwaan pengkritik yang menuduh polis bertindak di bawah pengaruh barat atau menggugat Islam kerana agensi keselamatan serta keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan turut mengaitkan kumpulan seperti al-Qaeda dan JI dengan ideologi Salafi-jihadi.

“Ahli politik, peguam dan kumpulan hak asasi hanya menumpukan kepada prosedur perundangan di bawah undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan SOSMA, namun sebenarnya tidak semua maklumat risikan boleh didedahkan tanpa mencetuskan kebimbangan awam,” katanya.

Paling penting kata Ayob Khan, adalah sokongan serta kepercayaan penuh terhadap PDRM, khususnya Cawangan Khas dalam menangani ancaman terhadap keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Undang-undang pencegahan kekal sebagai instrumen penting bagi menggagalkan rancangan ekstremis sebelum keganasan berlaku,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img