POLIS menahan seorang lelaki bersama 130 unit bekas vape berisi cecair dadah jenis syabu selepas menyerbu sebuah rumah di kawasan Bukit Minyak, Bukit Mertajam semalam.
Serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat yang diperoleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah sebelum menyerbu rumah berkenaan kira-kira jam 10.20 malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan 130 unit katrij vape lutsinar mengandungi cecair disyaki dadah jenis syabu seberat 4,550 mililiter.
“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM45,500 dan boleh digunakan sehingga 300 orang penagih.
“Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan aktif mengedarkan dadah tersebut sejak dua bulan lalu dan dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau dalam pada itu berkata, tindakan perlucutan harta turut diambil terhadap suspek mengikut Akta Dadah Berbahaya 1988, iaitu menyita dua kereta dan pelbagai barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM429,500.
Katanya, semakan mendapati suspek berusia 42 tahun dan mempunyai sembilan rekod lampau bersabit kesalahan jenayah serta satu kesalahan berkaitan dadah.
“Suspek kini direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan,” tambahnya.


