Kelengkapan sekolah, wang simpanan musnah dalam kebakaran rumah sewa

SEBUAH keluarga terdiri daripada lima beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa didiami mereka di Wakaf Bharu di Tumpat musnah dalam kebakaran hari ini.

Mangsa, Siti Nor Amira Mat Rifin, 34, berkata, kebakaran pada jam 6.40 petang itu turut menyebabkan barangan kelengkapan sekolah dua anaknya berusia enam dan 10 tahun yang baru dibeli musnah.

Menurutnya, ketika kejadian mereka lima beranak tiada di rumah kerana menziarahi ibunya di Kampung Paloh dan hanya mengetahui musibah berlaku selepas dihubungi jiran.

Siti Nor Amira memberitahu, pada mulanya dia hanya menyangka kebakaran itu tidak besar malah sempat meminta jiran yang menghubunginya untuk membantu memadamkan kebakaran.

“Bagaimanapun sebaik saja pulang, saya terkejut kerana rumah sewa saya habis musnah tinggal asap dan abu sahaja. Saya diberitahu api sangat marak malah kebakaran berlaku sangat cepat.

“Tiada apa yang tinggal kerana semuanya sudah musnah. Seingat saya, ada sejumlah wang hasil suami menebar roti canai disimpan di bilik tidur… itu juga hangus,” katanya yang menyewa rumah itu sejak dua minggu lalu, lapor Harian Metro.

Saksi kejadian, Maizon Abdullah, 57, berkata, dia terhidu bau hangit dan mendengar bunyi letupan kecil, sebelum bergegas keluar dan melihat kepulan asap keluar dari hadapan rumah jiran.

“Ingatkan orang bakar sampah, tetapi tidak lama kemudian berlaku letupan kuat dan api mulai marak membakar rumah jiran serta merebak ke sebuah lagi rumah yang tidak berpenghuni,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Mohd Nasrin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 6.48 petang dan 14 anggota segera ke lokasi termasuk daripada BBP Tumpat dan Pengkalan Kubor.

“Kebakaran membabitkan dua unit rumah jenis separuh kekal dan kemusnahan adalah 100 peratus. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img