DUA pemandu maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di kawasan perumahan Jalan Dedap 1, Taman Johor Jaya, Johor Bahru hari ini.
Kedua-dua mangsa yang maut merupakan lelaki tempatan berusia 29 tahun yang memandu Nissan GT-R dan pemandu Perodua Axia berusia 30 tahun.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Sohaimi Ishak berkata, kemalangan dilapor berlaku pada jam 3.20 petang membabitkan kereta jenis Nissan GT-R, Kia Picanto dan dua kereta Perodua Axia.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu Nissan GT-R hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan, sebelum merempuh Kia Picanto dipandu seorang wanita berusia 58 tahun, serta dua Perodua Axia masing-masing dipandu lelaki tempatan berusia 30 dan 29 tahun.
“Rempuhan menyebabkan kenderaan terbabas ke bahu kanan jalan dan pemandu Nissan GT-R disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu Perodua Axia berusia 30 tahun yang cedera parah di kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala empat mangsa lain cedera ringan.” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Sohaimi, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan semua pihak.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-386 4222, katanya.


