Adik bekas pemain bola sepak Kelantan dikehendaki Polis Thailand, disifatkan berbahaya dan masih bebas

POLIS Thailand menyenaraikan adik kepada seorang bekas pemain bola sepak Kelantan yang dikehendaki berhubung kes tembakan maut seorang lelaki warga Malaysia di pekan Sungai Golok pada November lalu, sebagai seorang individu sangat berbahaya.

Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Polis Thun Sirikhunt berkata, pihak berkuasa percaya suspek yang dikenali sebagai Salip Samae, 27, masih bebas dan bergerak ulang-alik antara Thailand dan Malaysia.

Menurut beliau, Salip dikehendaki pihak berkuasa Thailand sejak November tahun lalu susulan siasatan kes tembakan yang mengorbankan seorang warga Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33.

“Siasatan mendapati suspek memiliki dua kewarganegaraan yang membolehkannya mengelak daripada ditangkap dengan kerap melintasi sempadan antara dua negara jiran ini,” katanya ketika ditemui, lapor Harian Metro.

Thun berkata, polis Thailand percaya Salip masih bersembunyi dan mengambil kesempatan menggunakan laluan haram untuk keluar masuk antara Thailand dan Malaysia.

“Semua balai polis di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia telah dimaklumkan dan diberikan butiran suspek bagi membantu usaha memburu,” katanya.

Beliau berkata, kawalan keselamatan di sepanjang Sungai Golok turut diperketatkan dengan penugasan anggota tentera di jeti haram dan laluan penyeberangan yang dikenal pasti.

“Kami telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik dan anggota tentera ditempatkan untuk mengawal jeti haram di sepanjang Sungai Golok bagi menghalang pergerakan rentas sempadan,” katanya.

Thun berkata, Salip adalah adik kepada Alif Samae, seorang lagi suspek dalam kes berkenaan yang menyerah diri kepada pihak berkuasa sebelum ini.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Narathiwat mengeluarkan waran tangkap terhadap Salip berhubung kes pembunuhan berkenaan.

Polis Thailand percaya Salip dan abangnya, Alif, 31, terbabit dalam insiden tembakan itu.

Alif ditahan di bandar Sungai Golok pada 2 November, sehari selepas kejadian.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img