Perak beri tempoh sehingga Oktober kepada pengusaha vape hentikan penjualan

KERAJAAN Negeri Perak memberi tempoh sehingga Oktober ini kepada pengusaha rokok elektronik, atau vape, untuk menghentikan penjualannya susulan keputusan melaksanakan larangan lesen menjual produk itu di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak Datuk A. Sivanesan berkata tempoh itu diberikan sebagai langkah peralihan bagi membolehkan pengusaha terbabit membuat persediaan sebelum larangan berkenaan dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Kita masih beri ruang sehingga Oktober ini kerana terdapat segelintir pengusaha yang masih memegang lesen jualan rokok elektronik yang belum luput tempoh… jadi, kita harap mereka boleh habiskan produk sekali gus menghentikan operasi penjualan sepenuhnya secara berperingkat,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh hari ini.

Pada 1 Okt lepas, Kerajaan Negeri Perak mengumumkan pelaksanaan larangan lesen penjualan rokok elektronik di semua premis perniagaan dalam kawasan pihak berkuasa tempatan bermula 1 Jan 2026 sepertimana dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.

Negeri-negeri lain yang telah mengharamkan Vape ialah Johor (2016), Kelantan (2015), Terengganu (2023) dan Perlis (2025) . Negeri lain dijangka melakukan langkah yag sama tidak lama lagi.

Sivanesan juga berkata pihaknya berharap kelonggaran yang diberikan itu tidak akan disalah guna oleh mana-mana pengusaha rokok elektronik untuk meneruskan perniagaan mereka secara tidak sah.

 Beliau berkata jika ada yang melanggar arahan itu, tindakan perundangan akan diambil terhadap mereka oleh pihak berwajib.

“Kita telah bagi ruang dan masa yang cukup… saya harap mereka memahami serta mematuhi larangan yang dikenakan demi kepentingan kesihatan awam dan keselamatan masyarakat,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img