Penuntut UniSZA maut kereta dipandu dirempuh Jazz di persimpangan lampu isyarat

SEORANG penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut dalam kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan di persimpangan lampu Isyarat Jalan Kemajuan, Bukit, Kuala Terengganu, hari ini.

Nahas sekitar jam 1.38 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, tersepit dalam kereta jenis Perodua Viva dipandunya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila Syakirah Hanan yang berasal dari Johor, dikatakan dalam perjalanan ke Jalan Bukit Kecil dan membelok ke kanan.

Bagaimanapun pada masa sama, seorang pemandu lelaki didakwa memecut Honda Jazz yang sedang menuruni jalan berbukit dari arah bandar raya ini sehingga melanggar lampu isyarat merah lalu merempuh kenderaan mangsa.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Mohd Salleh Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.39 tengah hari berhubung insiden itu.

Setiba di lokasi, beliau berkata, pemandu lelaki yang identiti belum dikenal pasti, didapati telah dikeluarkan oleh orang ramai dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), sebelum pasukan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan Syakirah Hanan yang tersepit di dalam keretanya.

“Pasukan terpaksa memastikan keadaan mangsa yang tersepit, bebas daripada aliran elektrik berikutan tiang elektrik tumbang selepas dirempuh kereta dalam kemalangan itu,” katanya, lapor Berita Harian Online.

Selain itu, Mohd Salleh berkata, pihaknya juga terpaksa melakukan pembersihan aliran petrol sebelum menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa yang meninggal dunia berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Hal Ehwal Pelajar UniSZA mengesahkan mangsa adalah pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari.

Menurutnya, pihak UniSZA amat berdukacita dengan kejadian itu dan sedang berurusan dengan pihak berkuasa serta hospital bagi tindakan seterusnya.

Selain itu, katanya, universiti berkenaan akan menyalurkan bantuan khairat kematian termasuk sumbangan berjumlah RM6,000 serta insurans kematian RM12,000.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img