POLIS sedang mengesan suspek utama kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemukan dengan 12 kesan tikaman di sebuah unit pangsapuri di Mantin, Nilai pada 30 Disember lalu.
Suspek dilihat berada di lokasi pangsapuri itu memakai pelitup muka dan baju berhud bertanyakan unit rumah mangsa sebelum memasuki kawasan pangsapuri dan keluar kira-kira tiga jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pergerakan suspek itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk pangsapuri berkenaan.
“Lelaki itu dikatakan bertanya alamat rumah mangsa kepada pengawal keselamatan di pondok pintu masuk yang mana ia turut dirakam CCTV pada tengah malam 28 Disember lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Pada 31 Disember lalu media melaporkan, seorang lelaki ditemukan maut dengan 12 kesan tikaman pada badan di Pangsapuri Damai Ria, Mantin kira-kira jam 11 pagi.
Johari dalam pada itu berkata, polis percaya lelaki berkenaan adalah suspek utama dalam kejadian itu, manakala dua lelaki iaitu teman serumah mangsa yang ditahan sebelum ini telah diambil keterangan untuk membantu siasatan.
“Hasil soal siasat mendapati rumah berkenaan disewa mangsa bersama dua rakannya yang ditahan sebelum ini. Kejadian dipercayai berlaku pada tengah malam 28 Disember dan mayat mangsa hanya ditemukan pada pagi 30 Disember.
“Malah polis difahamkan, rumah berkenaan dijadikan tempat untuk melakukan kegiatan songsang sesama jantina,” katanya.
Mengulas mengenai dua suspek yang ditahan sebelum ini, Johari berkata, reman kedua-dua lelaki berkenaan akan tamat esok dan polis akan memohon untuk menyambung perintah reman.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek utama ini supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membabitkan kes bunuh.


