Maritim Malaysia tahan vesel nelayan cuba seludup keluar PATI

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berjaya menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas B yang disyaki cuba membawa keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan negeri itu pagi semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, vesel berkenaan ditahan kira-kira jam 5 pagi pada kedudukan 2.5 batu nautika barat Sekinchan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong bersama tiga awak-awak berusia antara 28 hingga 61 tahun.

“Kesemua mereka merupakan warga Indonesia yang gagal mengemukakan permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut menemukan sebuah beg berisi pakaian milik seorang lelaki berusia 29 tahun yang disyaki PATI dan cuba diseludup keluar dari Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua empat tekong dan awak-awak itu, termasuk seorang PATI bersama vesel dan barang rampasan telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin di Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Kes ini disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, selain turut disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Abdul Muhaimin menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara, khususnya di Selangor tidak dijadikan lokasi aktiviti pelanggaran undang-undang.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img