Tender perolehan Tentera Darat: SPRM reman 17 pengarah syarikat

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman 17 pengarah syarikat bagi membantu siasatan penglibatan mereka dalam rangkaian kartel tender perolehan pasukan Tentera Darat.

Kesemua mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia antara 20 hingga lingkungan 60-an itu ditahan antara jam 8.30 hingga 11.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Suruhanjaya itu dalam hantaran di TikTok hari ini memaklumkan perintah tahanan reman selama lima hari sehingga 10 Januari depan terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut hantaran itu, siasatan awal mendapati semua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan Tentera Darat sebagai balasan untuk mendapatkan projek-projek pembekalan dan penyelenggaraan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.

Pada 23 Disember lalu, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Dilaporkan bahawa semakan awal SPRM berhubung perolehan projek Tentera Darat mendapati beberapa buah syarikat kerap memperoleh projek dengan nilai tinggi.

Pada 29 Disember lepas, SPRM dilaporkan menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan.

Pada 2 Januari lalu pula, SPRM memaklumkan individu utama yang disyaki terlibat dalam siasatan itu masih menerima rawatan perubatan dan keterangannya belum diambil sepenuhnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img