MAHKAMAH Rayuan hari ini mengembalikan sabitannya terhadap seorang bekas pengajar sekolah memandu atas kesalahan melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada 2021.
Berikutan sabitan itu, Lim Yoke Pin, 75, yang sebelum ini telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan tersebut mula menjalani hukuman penjara lapan tahun bermula hari ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Azman Abdullah, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membenarkan rayuan pihak pendakwaan mengetepikan pembebasan Yoke Pin dan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkannya atas kesalahan itu.
Hayatul Akmal ketika membacakan keputusan berkata, mangsa konsisten dalam keterangannya bahawa tertuduh telah meraba dada dan kemaluan beliau.
Beliau juga berkata, tiada keterangan menunjukkan mangsa mempunyai motif untuk menganiaya Yoke Pin.
Bagaimanapun, Hayatul Akmal berkata, setelah mengambil kira faktor umur tertuduh, mahkamah mengetepikan hukuman 12 tahun penjara dan tiga sebatan rotan yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan lapan tahun penjara.
Beliau turut memerintahkan Yoke Pin menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Pada 9 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Raub mendapati Lim bersalah atas kesalahan melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap remaja perempuan itu di Jalan Desa Damai, Pahang, pada 3 petang 14 Mac 2021. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tiga sebatan rotan ke atasnya.
Mahkamah Tinggi pada 29 Julai tahun lepas, telah melepas dan membebaskan Lim daripada pertuduhan tersebut, sekali gus mendorong pihak pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Pada perbicaraan rayuan di Mahkamah Rayuan, Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir berkata, Mahkamah Tinggi telah tersilap dari segi fakta dan undang-undang, apabila membebaskan Yoke Pin daripada pertuduhan itu.
Beliau berkata, Hakim Mahkamah Sesyen sebenarnya telah membuat dapatan bahawa keterangan mangsa adalah amat meyakinkan.
Bagaimanapun, peguam Chong Pei Yen yang mewakili Lim, menggesa mahkamah supaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan berkata mangsa tidak membuat laporan polis serta-merta dan hanya membuat laporan kira-kira sejam kemudian.


