PEGAWAI tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip amanah kepimpinan, memimpin anggota bawahan melalui teladan dan mengutamakan kebajikan anggota dan masyarakat.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pegawai pasukan itu perlu terus mengekalkan integriti mereka dan bersikap profesionalisme dalam setiap pelaksanaan tugas.
“Dalam menjalankan tugas sebagai pegawai polis, pelantikan dan perubahan pucuk kepimpinan adalah sebahagian daripada perancangan strategik pasukan bagi memperkasa serta menyegarkan organisasi Sang Saka Biru.
“Pertukaran dan perubahan itu bertujuan meningkatkan keberkesanan operasi, memperkukuh tadbir urus serta memastikan PDRM kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran keselamatan yang sentiasa berubah,” katanya.
Mohd Khalid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas bagi dua portfolio pengarah jabatan PDRM yang berlangsung di Dewan Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Majlis serah terima tugas dua jawatan pengarah iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berlangsung di antara Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dengan Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.
Manakala jawatan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti diserahkan Datuk Wan Hassan Wan Ahmad kepada Mohd Yusri selaras dengan arahan pertukaran Pegawai Kanan Polis yang diumumkan hari ini.
Dalam majlis yang sama turut berlangsung serah terima tugas jawatan Ketua Pasukan AMLA Bukit Aman daripada Muhammed Hasbullah kepada penyandang baharu iaitu Datuk Fazlisyam Abd Majid.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, barisan pengarah PDRM serta pegawai kanan Bukit Aman.
Mohd Khalid turut memberi penekanan supaya fokus terhadap kepercayaan awam, pengadaptasian teknologi dan inovasi, jalinan kerjasama strategik, pembangunan kapasiti anggota serta tahap kesiapsiagaan berterusan bagi menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan.


