SYARIKAT pengurusan sisa pepejal, KDEB Waste Management (KDEB) menafikan dakwaan sebuah lori kompaktornya terbabas dalam longkang di Klang, semalam akibat cuba mengelak pemeriksaan pihak berkuasa.
Syarikat itu bagaimanapun mengesahkan sebuah lori kompaktornya terbabas di Jalan Iskandar, Bukit Kapar kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Menurut kenyataan dikeluarkan KDEB, kenderaan kompaktor itu terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke tapak pelupusan bagi tujuan melupuskan sisa pepejal selepas selesai kerja kutipan.
Kata kenyataan itu, berdasarkan maklumat awal, lori berkenaan dipercayai terbabas dan terjatuh ke dalam longkang.
“Faktor persekitaran dan keadaan jalan ketika kejadian sedang dikenal pasti sebagai sebahagian daripada siasatan dalaman yang sedang dijalankan pihak pengurusan.
“Insiden ini tidak melibatkan sebarang cubaan melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” kata kenyataan tersebut sambil mengesahkan syarikat itu telah membuat laporan polis.
Kenyataan itu memberitahu, lori yang terlibat kemalangan sudah dikeluarkan dari longkang dengan bantuan perkhidmatan tunda untuk dihantar ke bengkel bagi tujuan pemeriksaan teknikal serta pembaikan lanjut.
Ia berkata, pihaknya memandang serius aspek keselamatan operasi, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta kebajikan pemandu, dan akan mengambil langkah penambahbaikan bersesuaian dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian sama berulang.


