Keluarga berharap penemuan mayat di Bengkalis milik Fadzli selepas lima hari hilang

KELUARGA kepada seorang nelayan yang masih hilang dalam kejadian di Jeti Sungai Tongkang, Rengit di Pahat sejak Jumaat lalu berharap penemuan mayat di Bengkalis, Indonesia oleh pihak berkuasa negara jiran itu adalah milik Mohd Fadzli Mesran, 41, yang belum ditemukan sehingga kini.

Adik nelayan terbabit, Mohd Hidayat, 33, berkata, keluarganya dimaklumkan pihak berkuasa di Bengkalis mengenai penemuan satu mayat di perairan mereka pagi ini dan reda sekiranya itu jasad abangnya.

MOHD Fadzli Mesran, nelayan yang dikhuatiri hilang sejak Jumaat lalu

Mohd Hidayat yang juga nelayan memberitahu, dia menerima panggilan pada jam 9 pagi ini daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memaklumkan penemuan mayat oleh pihak berkuasa di Bengkalis.

“Saya diminta untuk membuat pengecaman mayat di Bengkalis tetapi perlu tunggu arahan daripada pihak berkuasa. Saya dan abang Mohd Tauffik, 35, akan bergerak ke Bengkalis.

“Kami harap jasad itu adalah abang kami supaya urusan pengebumian dapat disempurnakan dan keluarga memperoleh kepastian selepas beberapa hari menunggu khabar,” katanya ketika ditemui di Jeti Sungai Tongkang, Batu Pahat hari ini, lapor Sinar Harian.

Mohd Fadzli dan dan seorang rakannya, Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, disedari hilang pada pagi Sabtu lalu selepas mereka keluar bersama jam 6 petang Jumaat untuk memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari jeti.

Kedua-dua mereka sepatutnya pulang ke rumah antara jam 9 hingga 10 malam hari yang sama, namun usaha ahli keluarga menghubungi telefon bimbit kedua-dua nelayan itu gagal.

Semalam, mayat Mohd Saiful ditemukan seorang nelayan yang turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat di perairan Pantai Sarang Burung pada jam 9.16 pagi.

Mohd Hidayat dalam pada itu memberitahu, sepanjang lima hari abangnya dilaporkan hilang, dia sekeluarga bersama penduduk kampung tidak berputus asa melakukan solat hajat dan bacaan Yasin di jeti.

“Abang mempunyai tujuh orang anak di mana anak sulungnya, Mohd Haikal, 19, belajar akaun di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar Perak. Sejak hilang, anaknya turut menunggu di jeti bersama penduduk kampung.

“Abang sangat disenangi penduduk, sering bantu nelayan di Sungai Tongkang termasuk bersama-sama bina jeti pengkalan hadapan di sini,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img