Suri rumah mengaku tidak bersalah aniaya anak kandung

SEORANG suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menganiaya anak kandungnya sehingga mengalami kecederaan fizikal pada anggota badan, minggu lalu.

Tertuduh, Norshazlina Izamli, 22, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.

Mengikut pertuduhan, wanita itu sebagai ibu kandung kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun 11 bulan ketika kejadian didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Jalan Sentul Pelangi, Sentul, kira-kira jam 5 petang, 2 Januari lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shafina Mohd Radzuan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung jaminan.

Hakim Mazuliana membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Media baru-baru ini melaporkan, polis menahan seorang wanita berusia 22 tahun selepas menerima laporan berhubung kejadian dera itu pada 2 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa yang kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan termasuk kepala, telinga, mata, tangan dan kaki, selain kehilangan gigi hadapan, dipercayai akibat didera secara berterusan sejak dua minggu lalu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img