BEKAS Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, hari ini hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya dipercayai bagi membantu siasatan kes tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Beliau hadir dengan menaiki kereta mewah putih, berkemeja putih dan seluar hitam pada jam 3.10 petang, lapor Berita Harian.
Pegawai kanan tertinggi TDM itu diiringi beberapa individu memasuki bangunan ibu pejabat SPRM.
Bulan lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor memaklumkan Muhammad Hafizuddeain diarah bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau.
Pada 23 Disember lalu, laporan media memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Difahamkan, siasatan awal SPRM tertumpu projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Sebelum itu, SPRM dilapor mengambil aduan dan merakam keterangan Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Chegubard atau nama sebenar, Badrul Hisham Shaharin mengenai perincian maklumat yang beliau peroleh.
Chegubard mendakwa terdapat ‘aliran tunai besar’ dikesan dalam akaun bank seorang pegawai dan ahli keluarganya, yang disyaki berpunca daripada syarikat-syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.
Semalam, SPRM telah menahan reman 17 pengarah syarikat bagi membantu siasatan penglibatan mereka dalam rangkaian kartel tender perolehan pasukan Tentera Darat.
Kesemua mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia antara 20 hingga lingkungan 60-an itu ditahan antara jam 8.30 hingga 11.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Suruhanjaya itu dalam hantaran di TikTok memaklumkan perintah tahanan reman selama lima hari sehingga 10 Januari depan terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut hantaran itu, siasatan awal mendapati semua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan Tentera Darat sebagai balasan untuk mendapatkan projek-projek pembekalan dan penyelenggaraan.


