Suspek kes letupan di Nilai bakal didakwa lima pertuduhan esok – Polis

POLIS hari ini memaklumkan suspek yang kini direman berhubung kes menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Desa Palma, Nilai pada 22 Disember lalu bakal didakwa dengan lima pertuduhan esok.

Suspek lelaki berusia 62 tahun itu akan didakwa di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban esok berikutan dia masih  menerima rawatan susulan kecederaan dialaminya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, suspek dijangka berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki bahan letupan dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa diniatkan untuk digunakan bagi menyebabkan kecederaan.

“Bahan letupan berkenaan ditemukan di sebuah unit kediaman di apartment Desa Palma, sebuah kenderaan Proton Wira di parkir di kawasan Star Valley Nilai, di tepi jalan utama Kampung Batang Benar, Mantin.

“Suspek juga bakal berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 4 akta sama dan pertuduhan bagi Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan bahan letupan sehingga menyebabkan kerosakan ke atas sebuah kenderaan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata, kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes berprofil keselamatan tinggi dan pihak polis telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan melibatkan penggunaan serta pemilikan bahan letupan berbahaya yang menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan awam selain menyebabkan kerosakan harta benda.

Tambah Johari, siasatan menyeluruh dijalankan termasuk analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keterangan saksi awam, pemeriksaan forensik serta tindakan Unit Pemusnah Bom (UPB).

“Polis memandang serius sebarang perbuatan melibatkan bahan letupan dan ancaman terhadap keselamatan awam, dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti sedemikian,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img