SEORANG wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Pasir Gudang, Johor penghujung Disember lalu.
Tertuduh, Saniah Osman, 55, yang juga seorang peniaga, kelihatan sugul dan hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Mengikut pertuduhan, Saniah didakwa membunuh Muhammad Aswad Muhammad Fairuz di ruang tamu sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang antara pukul 7.30 malam, 29 Disember hingga 1.30 pagi, 30 Disember tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqilah Aliman.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 9 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan post mortem, kimia dan DNA, lapor Bernama.


