BUAH-buahan tempatan seperti durian contohnya, bukanlah sekadar untuk dinikmati malah ia boleh dijadikan platform untuk mengeratkan silaturahim. Malah walaupun tinggal di kawasan perumahan ia bukanlah penghalang untuk usaha seumpama itu dilaksanakan.
Itulah yang dilakukan oleh Persatuan Penduduk Taman Anjung Gapam (PPTAG), Bemban Melaka apabila menganjurkan Program ‘Jom Makan Durian&Buah-Buahan Tempatan’ bertemakan ‘Sambil Makan Sambil berkenalan’, di taman itu semalam.

Program itu yang mendapat kerjasama Surau Taman Anjung Gapam dan Persatuan Penduduk Anjung Tulip, Taman Anjung Gapam bermula pukul 9 malam hingga 11.30 malam itu dihadiri antara 250 orang hingga 300 orang penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Pengerusi PPTAG, Kapten M Farhan M Yusof berkata, program itu yang diadakan di Tapak Meletak Kereta Surau Anjung Gapam bertujuan bagi mengeratkan silaturahim dan saling kenal-mengenali antara penduduk.
‘’Alhamdulillah, program berjalan lancar dan penduduk dapat beramah mesra antara satu sama lain sambil menikmati buah-buahan tempatan dan makanan yang disediakan,’’ katanya kepada utusanmelayuplus.com.

Beliau berkata, bagi menjayakan program tersebut, sebanyak 450 kilogram durian disediakan bersama rambutan (50 kilogram) pulasan (50 kilogram) dan manggis (50 kilogram), selain hidangan laksa, mee sup, kek pisang dan pulut durian.
‘’Program ini juga memberi peluang kepada penduduk berkenalan dengan Ahli Jawatankuasa baharu PPTAG yang dilantik dalam pemilihan pada 28 Disember lalu,’’ katanya.

Menurut M Farhan, beliau berharap melalui program seumpama itu akan mampu mengeratkan perpaduan, meningkatkan semangat kejiranan dan mengukuhkan sikap hormat menghormati antara penduduk tanpa mengira bangsa dan agama, sekaligus menjadi teras kepada kehidupan yang lebih selesa, harmoni dan selamat.
‘’Insha-Allah, kerjasama pertama ini antara PPTAG dengan Surau Anjung Gapam dan Persatuan Penduduk Anjung Tulip akan menjadi pembuka jalan untuk kami melaksanakan lebih banyak program lagi demi kesejahteraan penduduk di sini,’’ katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan penduduk yang menjayakan program makan buah-buahan tempatan tersebut.


