DIANGGARKAN 60,000 peminat setia Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza teruja apabila artis kesayangan mereka itu memulakan persembahan dengan menyampaikan lagu `Purnama Merindu’ dari atas kren di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Kemunculan Siti Nurhaliza pada Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love, ternyata mengundang sorakan gempita para peminatnya yang setia menantikan persembahan beliau dalam konsert ulungnya awal tahun ini yang bermula jam 8.30 malam.

“Malam ini, saya berikan kasih sayang saya kepada anda dengan lagu-lagu yang mungkin anda pernah dengar ketika masih kecil,” katanya.
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love menjadi penanda usia karier seninya yang kini menjengah tiga dekad.
Konsert ini dianjurkan oleh syarikat pengurusannya, Siti Nurhaliza Legacy bersempena ulang tahun ke-30 seniwati tersohor itu dalam industri seni, satu detik penting yang diraikan bersama puluhan ribu peminat yang selama ini menjadi tunjang kekuatannya.
Apa yang paling istimewa, konsert solo Siti Nurhaliza kali ini berlangsung sehari sebelum beliau menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-47, menjadikan ia satu perayaan peribadi dan profesional yang cukup bermakna.
Konsert ini juga menyaksikan Siti Nurhaliza mempersembahkan lagu-lagu popularnya dari setiap era.


