Mufti WP nasihat penganjur batalkan program ‘Glamping With Pride’, hentikan promosi budaya songsang

MUFTI Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil  menasihati pihak penganjur program ‘Glamping With Pride’ agar membatalkan atau menghentikan sebarang aktiviti yang mempunyai unsur promosi budaya songsang.

Bahkan, katanya, setiap individu dan golongan yang terlibat dalam program maksiat seperti itu perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman yang berat setimpal dengan kejelekan maksiat yang dilakukan tersebut.

‘’Namun jika ada dalam kalangan yang terlibat ingin bertaubat dan menyesal dalam perbuatan mereka tersebut, ketahuilah pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali kepada fitrah,’’ katanya dalam ruangan Tinta Mufti yang disiarkan di Facebook Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Ahmad Fauwaz berkata, berbanding penganjuran program sedemikian, umat Islam dan seluruh masyarakat di negara ini sewajarnya didedahkan dengan aktiviti rekreasi yang mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagai Pencipta alam semesta melalui penghayatan terhadap keindahan alam demi meningkatkan keimanan.

‘’Selain itu, aktiviti tersebut juga perlulah berupaya mengeratkan ukhuwah yang sihat dengan membina hubungan kemasyarakatan yang bersih daripada sebarang unsur maksiat, sekali gus berfungsi sebagai wadah untuk memelihara jati diri serta menjadi benteng ampuh daripada pengaruh budaya luar yang merosakkan,’’ katanya.

Beliau menegaskan, agama Islam merupakan agama yang amat mementingkan aspek kesucian akhlak dan keutuhan sistem kekeluargaan yang dibina atas fitrah kejadian lelaki dan wanita.

Tegasnya,  penggunaan istilah ‘Pride’ yang secara global dikaitkan dengan gerakan LGBTQ+ (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) adalah satu usaha normalisasi terhadap perbuatan yang jelas diharamkan oleh Allah SWT.

‘’Oleh itu, penganjuran program yang cuba menyuntik elemen-elemen ini biarpun dikaburi dengan aktiviti rekreasi yang kelihatan normal seperti glamping, penganjurannya adalah jelas dilarang kerana ia merupakan satu bentuk mempromosikan perbuatan maksiat dan dosa secara terbuka lebih-lebih lagi di negara Malaysia yang meletakkan agama Islam berada pada kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan,’’ tegasnya.

Beliau berkata, dalam konteks sebuah negara berdaulat, setiap penganjuran program awam mestilah menghormati sensitiviti agama, undang-undang dan norma budaya tempatan.

‘’Pihak berkuasa dan pemilik premis rekreasi perlulah lebih peka dan bertegas dalam menapis sebarang aktiviti yang cuba menormalisasikan budaya yang bertentangan dengan enakmen jenayah syariah sedia ada.

‘’Masyarakat juga diseru agar tidak memberikan sebarang sokongan atau pengiktirafan terhadap program-program yang mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan aqidah dan akhlak anak muda kita. Sikap berdiam diri terhadap kemungkaran yang dipromosikan secara terang-terangan dikhuatiri akan mengundang bala yang menyeluruh.

‘’Sebaliknya, masyarakat perlu bersama berusaha untuk mencegah perkara kemungkaran ini mengikut dengan kapasiti dan peranan masing-masing,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img