SEORANG kru bot penumpang yang hilang dalam insiden pertembungan dua bot berhampiran Jeti Pelancongan Semporna di Semporna pada Jumaat lalu, akhirnya ditemukan lemas hari ini.
Mayat Rosman Kandau, 24, dijumpai jam 8.37 pagi tadi di perairan Kampung Terusan Baru, Semporna kira-kira 3.4 batu nautika tenggara dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Semporna dalam kenyataan memaklumkan, ahli keluarga mangsa turut berada di lokasi untuk proses pengecaman, sekali gus mengesahkan identiti lelaki itu dengan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan jam 9 pagi tadi.
Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang kru bot dilaporkan hilang, manakala empat lagi cedera selepas bot penumpang dinaiki mereka bertembung sebuah bot penumpang lain pada kedudukan 0.3 batu nautika timur Jeti Pelancongan Semporna.
Operasi pencarian mangsa yang masuk hari ketiga membabitkan aset laut pelbagai agensi penguat kuasa, termasuk Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.


