SEEKOR harimau belang jantan yang digelar `Yob Kinding’ berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sebuah kebun durian berhampiran Bukit Kinding, Chemor hari ini.
Haiwan pemangsa seberat kira-kira 70 kilogram itu memasuki perangkap oleh enam anggota Perhilitan yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan kira-kira jam 1 petang tadi.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima laporan daripada Balai Polis Tanjung Rambutan pada pukul 8 malam tadi memaklumkan penduduk Bukit Kinding menemukan kesan tapak kaki serta terdengar ngauman harimau di sebuah kebun durian milik persendirian.
“Hasil daripada maklumat berkenaan, pasukan Perhilitan telah melakukan rondaan dan mendapati seekor harimau belang jantan telah memasuki perangkap yang telah sedia dipasang di kawasan itu sebelum ini,” katanya di Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput, hari ini lapor Bernama.
Menurut Yusoff, pemeriksaan yang dilakukan di Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput mendapati, mamalia tersebut berada dalam keadaan sihat serta tiada sebarang kecederaan pada mana-mana anggota badannya.
“Harimau ini akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai dalam masa terdekat, untuk rawatan susulan,” katanya.
Selain itu, beliau menafikan harimau berkenaan merupakan pemangsa sama yang berkeliaran dan membaham haiwan ternakan penduduk di sekitar Bukit Bangkong sejak 5 Disember lalu.
“Saya rasa yang berjaya ditangkap ini adalah anak kepada harimau belang yang berkeliaran di Bukit Bangkong sebelum ini. Kita percaya yang berkeliaran di Bukit Bangkong itu ialah ibu kepada harimau ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk sekitar Bukit Bangkong supaya terus berhati-hati dan mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti di kawasan rekreasi tersebut.
Pada 8 Disember lalu, penduduk Bukit Bangkong bimbang apabila dikejutkan dengan laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau, yang mengakibatkan dua ekor lembu ternakan mati dan lima ekor lagi hilang pada 5 Disember.
Bertindak atas aduan penduduk, Perhilitan Perak telah memasang dua buah perangkap dan dua kamera jejak di kawasan Bukit Kinding, Chemor dan Bukit Bakong.


