SEORANG pengarah syarikat mengalami kerugian hampir RM3 juta selepas terpedaya dengan tawaran kerja di platform dalam talian.
Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Azli Mohd Noor, berkata mangsa berusia 66 tahun itu membuat laporan Polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada 11.06 pagi semalam.
Katanya, mangsa sebelum itu diperkenalkan dengan perniagaan melalui platform dalam talian oleh kenalan yang dikenalinya melalui WhatsApp pada Mei tahun lalu.
“Mangsa kemudian membuat bayaran ke 18 akaun bank berbeza bermula pada 10 Jun hingga 7 November tahun lalu, berjumlah RM2,946,799.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak dapat memindahkan wang dari platform berkenaan ke akaun bank miliknya,” katanya lapor Harian Metro.
Kata beliau, mangsa kemudiannya hadir ke balai polis membuat laporan berhubung kejadian itu.
“Sumber kewangannya adalah wang simpanan sendiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.


