KERAJAAN Selangor akan mempercepatkan proses pemindahan aktiviti penternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat ke Bukit Tagar, Hulu Selangor selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini kerajaan negeri telah mengenal pasti seramai 69 pengusaha aktif di kawasan itu dan pemindahan akan dilaksanakan segera pada tahun ini.
“Daripada 69 pengusaha yang telah kita kenal pasti, selebihnya sudah tidak diberikan lesen, jadi kita akan keluarkan mereka secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur, di Shah Alam hari ini.
Semalam Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dihentikan dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar secara berfasa.
Baginda menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.
Amirudin berkata, kerajaan negeri mengambil langkah awal untuk menamatkan sepenuhnya kaedah penternakan babi secara tradisional di Tanjung Sepat, itu yang terbukti mencetuskan pencemaran, sebelum beralih kepada konsep penternakan moden yang diusahakan oleh pihak swasta.
Beliau berkata, langkah itu selari dengan titah Sultan Selangor, yang mahu isu pencemaran akibat aktiviti penternakan Babi di kawasan tersebut ditangani segera.
“Selagi kita tidak menamatkan pengurusan tradisional ini, selagi itulah pencemaran akan berterusan,” katanya
Amirudin turut menjelaskan, penternakan moden di Bukit Tagar dicadangkan oleh pihak swasta dan sama sekali tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan kerajaan negeri, selain menggunakan tanah yang dibeli oleh pengusaha sendiri.
“Fokus utama kita adalah mengelakkan pencemaran berulang. Jika sistem kumbahan dapat berdiri sendiri dan tidak memberi risiko kepada alam sekitar, barulah ia boleh dilaksanakan,” katanya.


