BEKAS Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dalam satu kes saman fitnah.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Azimah Omar juga memerintahkan Musa membayar kos sebanyak RM60,000 kepada Hannah.
“Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf dalam keputusannya ketika menolak saman Hannah.
“Kami membenarkan rayuan ini dan memerintahkan agar keputusan beliau diketepikan,” kata Azimah yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Dr Shahnaz Sulaiman, lapor media.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Dis 2024 yang menolak samannya terhadap Musa dan mengarahkan beliau membayar kos sebanyak RM40,000.
Hannah, yang hadir di mahkamah hari ini, memfailkan saman terhadap Musa pada 2020 berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Polis Negara itu pada forum bertarikh 30 Jan 2020.
Sementara itu, Hannah berkata, kemenangannya dalam kes saman fitnah itu bukan mengenai wang semata-mata sebaliknya menyentuh isu kebenaran.
Beliau berkata, keputusan berkenaan telah membersihkan namanya daripada golongan yang memfitnah menggunakan isu perkauman dan agama.
“Ini menunjukkan dakwaan yang dilemparkan terhadap saya merupakan satu penipuan Imej saya sudah rosak sejak enam tahun lalu, namun paling penting perkara ini telah dibuktikan oleh mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutua) itu berkata, sejak enam tahun, beliau terpaksa hidup dengan pelbagai pembohongan dan fitnah yang berlegar di media sosial.
Katanya, ia bukan sahaja mencemarkan nama baik malah turut mengelirukan orang ramai lebih-lebih lagi kenyataan dibuat seorang bekas Ketua Polis Negara.
Sedangkan beliau berkata, selaku seorang penjawat awam, Musa sepatutnya bertindak dengan lebih cermat dan berasaskan fakta yang sahih, bukannya dakwaan yang mencetuskan persepsi salah kepada masyarakat.
“Kini, tumpuan saya ialah melaksanakan amanah kepada rakyat dengan penuh integriti, tanggungjawab serta keikhlasan,’’ katanya.


