ENAM lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 52 tahun ditahan selepas terlibat dalam pergaduhan di tepi Jalan Ho Tian Wan di Pulau Pinang awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai pergaduhan itu pada jam 3.08 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Susulan maklumat tersebut, polis berjaya menahan kesemua mereka kira-kira jam 3.30 pagi di Jalan Madras.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku akibat perselisihan faham antara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Razak, kes ini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Kesemua suspek direman selama tiga hari bermula Ahad hingga hari ini bagi membantu siasatan.
“Empat daripada enam suspek telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar manakala dua lagi dijadikan saksi pendakwaan.
“Kesemua yang dituduh mengaku bersalah dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 setiap seorang,” katanya lagi.
Beliau menambah, orang ramai dinasihatkan tidak menyelesaikan sebarang perselisihan secara kekerasan dan sentiasa mematuhi undang-undang demi menjaga ketenteraman awam.


