Pemandu Singapura didenda RM9,000 ubah suai nombor pendaftaran isi RON95

MAHKAMAH Majistret Kulai menjatuhkan hukuman denda RM9,000 terhadap seorang pemandu kereta bernombor pendaftaran Singapura yang dikesan mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di negara ini pada awal tahun ini.

Tertuduh, Long Sa Kow, 64, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret R Salini, yang turut memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan bulan, jika gagal membayar denda.

Warga emas yang merupakan penduduk tetap Singapura itu didakwa mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan berkenaan di sebuah stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di Kulai kira-kira jam 10.30 malam 2 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli memohon denda minimum kerana lelaki itu pesara tanpa pendapatan tetap dan perlu menanggung seorang isteri yang juga suri rumah serta tiga anak, dengan dua daripadanya masih bersekolah.

“Ini kesalahan pertamanya dan dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya dan akan mematuhi undang-undang serta peraturan Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian.

Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran.

Berdasarkan fakta kes diakui benar oleh tertuduh pada 4 Januari lalu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai mengesan satu video memaparkan sebuah kereta berwarna perak bernombor pendaftaran LJ 8967 sedang mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Kulai.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh sebagai pemandu kereta yang sepatutnya bernombor pendaftaran SLJ 8967 M menutup huruf S dan M pada nombor plat itu bagi mengisi minyak subsidi RON95.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img