SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan reman enam anggota dan pegawai polis termasuk seorang pesara kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah keseluruhan kira-kira RM117,000 semalam.
Wang suapan itu dipercayai sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap dua pemilik syarikat yang melakukan kesalahan undang- undang seperti pusat hiburan, pusat urut dan judi haram di negeri itu.

Perintah reman selama lima hari sehingga 18 Januari terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan Majistret Syahirah Abdul Salim selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Geogetown, Pulau Pinang pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 60-an telah ditahan antara jam 11 pagi hingga 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.
“Siasatan awal mempercayai kesemua suspek melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2016 hingga 2021 dengan modus operandi yang sama iaitu menerima rasuah antara RM500 hingga RM2,000 setiap bulan.
“Seorang suspek disyaki telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun pihak ketiga manakala lima lagi ke akaun peribadi masing-masing daripada pemilik syarikat pinjaman wang berlesen dan pemilik syarikat perkhidmatan kesihatan manusia dan judi haram,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Karunanithy Y Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes ini disiasat di Bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


