SEORANG wanita mendakwa menjadi mangsa pukul dan cabul oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Medan Idaman, Gombak awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 22 tahun pada jam 12.42 tengah hari semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 pagi ketika mangsa sedang tidur di dalam sebuah kereta yang diletakkan di hadapan pasar raya berkenaan.
“Suspek dipercayai seorang lelaki masuk ke dalam kenderaan mangsa dan menyamar sebagai anggota polis sebelum bertindak menutup mulut pengadu serta memegang bahagian sulitnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang ketakutan telah menjerit menyebabkan suspek bertindak menumbuk mata kiri pengadu sehingga sakit dan bengkak.
“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal,” katanya.
Mohamad Lazim memaklumkan, kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta melakukan cabul kehormatan.


