UMNO perlu memulihkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahlinya terlebih dahulu sebelum mengharapkan rakyat kembali ‘merindui’ parti itu, kata Naib Presiden Datuk Seri Johari Ghani.
Katanya, kegagalan UMNO menampilkan imej bersatu akan menyukarkan parti itu untuk meyakinkan rakyat, khususnya dalam landskap politik semasa yang tidak menentu.
“Sebelum rakyat rindu UMNO, orang UMNO kena rindu orang UMNO. Kalau kita dalam UMNO tak rindu sama-sama kita menjadi satu parti yang mempunyai perpaduan sangat kukuh, macam mana orang luar nak (rindu kita)?,” katanya lapor FT selepas Majlis Amanat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) oleh Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas mengenai amanat Presiden UMNO pada majlis itu, Johari berkata mesej utama disampaikan kepada semua perwakilan ialah keperluan mendesak untuk menghentikan perpecahan dalaman kerana kekuatan parti itu tidak lagi seperti dahulu.
“Presiden berpesan kepada semua perwakilan kita sudah tidak boleh lagi memecah-belahkan parti. Parti ini sudah tidak kuat macam dulu. Jadi, semua pihak mesti bersatu untuk berdepan cabaran yang akan datang, bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat luar negara,” katanya.
Beliau berkata, kesedaran terhadap realiti semasa itu menuntut UMNO supaya lebih pragmatik dalam mengurus perbezaan politik, termasuk hubungan dengan parti-parti lain, demi memastikan kestabilan politik negara dapat dikekalkan.
“Atas sebab itu, dalam apa juga perbezaan politik kita dengan mana-mana parti, UMNO perlu menyusun dan menyesuaikan diri supaya negara ini terus mempunyai kestabilan politik yang baik.
“Dengan kestabilan itu, kita semua boleh sama-sama mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi yang boleh dijanjikan dengan kestabilan politik,” katanya.


