PERDANA Menteri Singapura Lawrence Wong telah melucutkan jawatan Ketua Pembangkang (LO) daripada Pritam Singh.
Dalam kenyataan, Wong berkata beliau membuat keputusan tersebut setelah pertimbangan teliti.
“Setelah mempertimbangkan perkara ini dengan teliti, saya telah memutuskan bahawa sabitan jenayah Pritam, yang diambil bersama pandangan Parlimen tentang ketidaksesuaiannya, menjadikannya tidak lagi boleh diterima untuk beliau meneruskan jawatan LO.
“Oleh itu, jawatan Encik Pritam sebagai LO akan dilucutkan berkuat kuasa serta-merta. Keputusan ini adalah perlu untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, serta maruah dan integriti Parlimen,” kata Wong, lapor Berita Harian Singapura.
Keputusan itu dibuat sehari selepas Parlimen memutuskan semalam bahawa Pritam, yang juga merupakan Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), tidak sesuai untuk meneruskan peranannya sebagai LO menyusuli perbahasan satu usul yang dibentangkan Ketua Dewan, Indranee Rajah.
Usul bagi membahaskan sama ada Pritam masih sesuai untuk meneruskan peranannya sebagai LO itu telah dibentangkan susulan sabitannya berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) yang mengendalikan kes pembohongan bekas Anggota Parlimen (AP) WP Raeesah Khan.
Pritam telah disabitkan kesalahan di Mahkamah Daerah kerana berbohong di bawah sumpah ketika memberi keterangan kepada COP – satu penghakiman yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi.
Selepas perbahasan selama hampir tiga jam, Parlimen menyokong usul berkenaan.
Semasa perbahasan itu, Pritam mengulangi bahawa beliau menerima penghakiman mahkamah, tetapi berkata beliau tidak bersetuju dengan dapatan tersebut dan menegaskan bahawa beliau tidak bersalah.
Merujuk kepada pendirian Pritam, Wong berkata: “Pritam berhak mempunyai pandangan peribadinya mengenai perkara itu tetapi persoalan sama ada bersalah atau tidak bersalah ditentukan melalui proses mahkamah yang adil.
“Keputusan undang-undang ini adalah muktamad dan konklusif – ia mesti dihormati dan diberi kuasa sepenuhnya dalam menentukan kesesuaiannya untuk terus menjadi LO,’’ katanya.
Wong turut mengirimkan surat kepada jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) WP, yang telah mengesahkan penerimaan surat tersebut.
Dalam surat itu, beliau menegaskan bahawa LO memainkan peranan penting dalam sistem politik Singapura sambil menambah bahawa pejabat LO mempunyai tanggungjawab yang ketara.
Di Parlimen, LO mengetuai pembangkang dalam perbahasan tentang rang undang-undang dan usul, serta mencalonkan anggota pembangkang ke jawatankuasa terpilih, kata Encik Wong.
Selain itu, LO juga boleh diminta untuk mewakili Parlimen di acara negara dan mesyuarat dengan pemimpin luar, serta menerima taklimat sulit berkenaan kepentingan negara.
“Oleh itu, sesiapa yang memegang jawatan ini mesti menegakkan piawaian kejujuran dan integriti yang tertinggi, serta memimpin amanah yang diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawab ini bagi pihak Parlimen dan rakyat Singapura,” kata Wong.
Wong turut meminta WP mencalonkan Ahli Parlimen lain dari parti tersebut yang boleh mengambil alih jawatan LO.
Beliau berkata calon itu tidak boleh terlibat dalam dapatan awal COP dan mesti berupaya memenuhi piawaian tinggi yang diperlukan sebagai seorang LO.
“Saya harap dapat menerima pencalonan WP dalam masa terdekat agar jawatan penting ini tidak kekal kosong bagi tempoh yang lama,” tambah Wong.
WP, dalam kenyataan berkata, ‘’Kami akan mempertimbangkan kandungannya dengan teliti melalui proses dalaman kami dan akan memberi maklum balas pada masa yang sesuai.”


