PKR Kedah struktur semula organisasi, kukuhkan kekuatan parti, luaskan sokongan akar umbi – Tunku Nashrul

MAJLIS Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah bakal melaksanakan penstrukturan semula organisasi bagi memperkukuh kekuatan parti serta meluaskan sokongan akar umbi di seluruh negeri berkenaan.

Pengarah Komunikasi MPN PKR Kedah Tunku Nashrul Abaidah berkata penstrukturan semula itu melalui gabungan kepimpinan berpengalaman dan baharu yang progresif.

Beliau berkata perkara berkenaan antara yang dibincangkan pada mesyurat MPN negeri itu, semalam.

“Mesyuarat juga meneliti serta memperkukuh hala tuju organisasi parti pada peringkat negeri, seiring dengan keperluan memperkasakan jentera dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik semasa serta mendatang.

“Tumpuan turut diberikan kepada perancangan gerak kerja strategik bagi memenangkan kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, termasuk pengukuhan jentera pilihan raya, pemantapan agenda kebajikan rakyat serta pendekatan politik yang matang, berprinsip dan berpaksikan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mesyuarat juga menekankan keperluan menonjolkan secara berkesan kejayaan serta inisiatif Kerajaan MADANI yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat Kedah merangkumi aspek ekonomi, kebajikan, pendidikan, infrastruktur dan kesejahteraan sosial agar peranan serta sumbangan kerajaan Persekutuan dapat difahami dengan lebih jelas.

Pada masa sama, Tunku Nashrul berkata PKR Kedah menegaskan komitmen untuk memainkan peranan sebagai pembangkang bertanggungjawab di DUN melalui pelaksanaan fungsi semak dan imbang yang konstruktif, berfakta dan berteraskan kepentingan rakyat demi memastikan tadbir urus negeri telus dan berintegriti.

“PKR Kedah bertekad untuk bergerak dengan pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan, memastikan parti ini kekal relevan sebagai wadah perjuangan rakyat, selaras dengan aspirasi reformasi dan tuntutan semasa masyarakat,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img