SEORANG jurujual kenderaan terpakai sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan rakannya berusia enam tahun dalam sebuah kereta di daerah ini, awal tahun ini.
Tey Kiat Boon, 46, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang merupakan bapa kepada dua anak didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa berusia enam tahun ketika kejadian dalam kereta yang diparkir dekat sebuah restoran di Taman Tangkak Jaya, Tangkak pada 5 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan ,jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat, tertuduh sebelum itu menjual mercun sempena Tahun Baharu Cina.
Tertuduh mengenali bapa mangsa dan mengajak kanak-kanak itu memasuki kereta lalu melakukan perbuatan terkutuk terbabit.
Kejadian terbongkar apabila mangsa mengadu kesakitan ketika mandi sebelum dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan, lapor Harian Metro.
Sementara itu di mahkamah yang sama, seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol dan amang seksual fizikal terhadap pelajar berusia 15 tahun yang baru dikenali di laman mencari kenalan, awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Syahirul Zulkipli, 26, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Batu Pahat antara jam 6 pagi hingga 2 petang, 3 Januari lalu.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a), 14 (d) AKKSTKK.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh iaitu Kiat Boon diikat jamin RM9,000 manakala Muhammad Syahirul diikat jamin sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan, perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi termasuk mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen dengan Kiat Boon diwakili Tee Yuan Sheng sementara Mohd Razak Sharif mewakili Muhammad Syahirul.
Kes disebut semula pada 10 Mac ini untuk serahan dokumen.


