Siasatan kes aktiviti `Yeye’ selesai, tindakan tegas bakal diambil – Panglima TUDM

SIASATAN berhubung dakwaan kegiatan tidak bermoral atau aktiviti ‘yeye’ membabitkan 21 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah dilengkapkan.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, selepas menyerahkan laporan itu, ia akan dirujuk kepada Cawangan Perundangan TUDM untuk meneliti jenis kesalahan dan peruntukan undang-undang bagi setiap pertuduhan.

Menurut beliau, 21 pegawai dari Pangkalan Udara Subang itu disiasat atas pelbagai kesalahan dan siasatan turut melihat kepada pangkalan atau unit lain.

“Bagaimanapun setakat ini, tiada laporan diterima berhubung pembabitan pangkalan atau unit lain berhubung isu itu,” katanya, lapor Berita Harian.

Baru-baru ini, beberapa gambar dan rakaman video tular dalam media sosial mendakwa budaya tidak bermoral dan perlakuan tidak selaras etika perkhidmatan berlaku dalam kem tentera.

Susulan kejadian itu, Kementerian Pertahanan mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) segera menjalankan siasatan dalaman bagi menentukan kesahihan dakwaan itu.

Muhamad Norazlan dalam pada itu berkata, apa yang ditegaskannya sebelum ini bukan sekadar ‘lakonan’, malah beliau secara peribadi memantau perkembangan siasatan itu.

Beliau turut mengulangi tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pegawai didapati bersalah, tanpa mengira pangkat.

“Saya akan kotakan apa yang saya katakan sebelum ini dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang melanggar peraturan,” tegas beliau.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img